Saifuddin Nasution tandatangani MoU dengan kerajaan Singapura
SINGAPURA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam mencegah dan menangani jenayah rentas sempadan bersama kerajaan Singapura.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), MoU itu sebagai komitmen kedua-dua negara untuk memperhebat usaha dalam membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan jenayah siber.
“Kerajaan Singapura telah diwakili oleh
Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang Singapura, K. Shanmugam.
“Menteri Dalam Negeri turut mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai
kepentingan kerjasama keselamatan dua hala yang menyeluruh antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam aspek pengurusan jenayah rentas sempadan serta bidang keimigresenan dan kepolisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, Menteri Dalam Negeri dan delegasi Malaysia juga turut menerima taklimat daripada Immigration and Checkpoints Agency (ICA) Singapura dan mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
“Lawatan itu bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem kawalan sempadan Singapura, khususnya melalui penggunaan teknologi terkini bagi menguruskan aliran lalu lintas rentas sempadan dengan lebih cekap dan teratur.
“Selain itu, Menteri Dalam Negeri dan delegasi Malaysia turut membuat lawatan ke Anti-Scam Centre (ASC) Singapura dan INTERPOL Cybercrime Directorate untuk memahami pendekatan serta teknologi yang dimanfaatkan dalam usaha membanteras aktiviti penipuan dalam talian,” katanya.
Menteri Dalam Negeri tiba di Singapura semalam dan meluangkan masa bersama diaspora Malaysia dalam satu
sesi ramah mesra dan makan malam.