Bisnes & Ekonomi

Malaysia-Russia meterai MoU perkukuh bekalan makanan negara

KUALA LUMPUR – Melewar Industrial Group Bhd mengorak langkah strategik dalam sektor keterjaminan makanan negara apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kesatuan Pengeksport Bijirin Russia (RusGrain Union) bagi menjamin bekalan bijirin jangka panjang.

Langkah itu selaras dengan inisiatif kerajaan memperkukuh rantaian bekalan makanan negara.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di ibu negara itu turut disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl Latypov; Pengerusi RusGrain Union, Eduard Zernin, dan Pengerusi Melewar Industrial, Tunku Datuk Yaacob Khyra.

Mohamad Sabu berkata, Russia merupakan pembekal utama gandum dunia dengan sumbangan antara 20 hingga 23 peratus daripada bekalan global menjadikannya rakan strategik bagi Malaysia dalam usaha menambah bekalan berterusan.

“Kerjasama ini penting untuk memastikan kestabilan bekalan makanan negara. Hubungan kukuh dalam sektor pengeluaran, pengedaran dan pembekalan akan menyokong usaha kita menyediakan keterjaminan makanan bagi rakyat,” katanya seperti dilaporkan BH Online semalam.

Selain itu, beliau turut mengulas bahawa hubungan dua hala Malaysia dan Russia yang telah terjalin sejak 1967 memperlihatkan potensi besar dalam sektor perdagangan.

“Perdagangan antara kedua-dua negara mencapai RM1.6 bilion pada 2022, namun kerjasama dalam sektor pertanian masih terhad kerana sekatan yang dikenakan terhadap Russia,” katanya lagi.

Sementara itu, Naiyl Latypov menzahirkan komitmen pihaknya dalam memperkukuh hubungan pertanian dan perdagangan dengan Malaysia, menyatakan bahawa MoU itu adalah langkah pertama ke arah kerjasama strategik yang lebih erat.

“Kerjasama ini bakal membuka peluang baharu dan mewujudkan asas kejayaan jangka panjang bagi kedua-dua negara,” ujarnya.

Zernin berkata, melalui MoU itu mereka menjangka dapat membekalkan antara 600,000 hingga 700,000 tan gandum ke Malaysia setiap tahun, sekali gus memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Sementara itu, Yaacob berkata, MoU itu adalah peluang besar bagi Melewar Industrial yang sememangnya aktif dalam sektor makanan, termasuk penternakan dan pemprosesan di beberapa negara.

“Kami berharap dapat menyumbang kepada kepelbagaian sumber rantaian bekalan makanan negara, menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan dalam menghadapi ancaman keterjaminan makanan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button