Berita Semasa

DBKL hentikan kerja pembinaan di tapak J Satine Wangsa Maju susulan letupan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan penghentian kerja-kerja pembinaan di tapak pembinaan J Satine di Wangsa Maju di sini selepas laporan kejadian letupan dipercayai akibat kegagalan struktur di Blok C.

DBKL dalam kenyataannya berkata, siasatan yang dijalankan mendapati terdapat keretakan pada struktur ‘shear wall’, tiang dan lantai di unit-unit yang terletak pada tingkat 8 dan ke atas.

Sehubungan itu, DBKL mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pihak perunding dan mengarahkan beberapa tindakan diambil.

Antaranya termasuk memberhentikan semua kerja pembinaan, menyelenggara tapak bina supaya berada dalam keadaan bersih dan selamat serta melantik jurutera bebas untuk memeriksa integriti struktur keseluruhan bangunan.

DBKL juga mengarahkan supaya laporan hasil pemeriksaan integriti struktur diserahkan serta kerja-kerja pembaikan dilakukan berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas.

“Tempoh pemberhentian pembinaan projek akan berlangsung sehingga laporan integriti struktur dikemukakan kepada DBKL,” katanya lagi.

Punca letupan dan kegagalan struktur masih dalam siasatan dan pihak DBKL menegaskan agar orang awam tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas, terutamanya di media sosial.

Sebelum itu, DBKL menerima aduan pada Khamis lalu daripada penduduk PPR Wangsa Sari mengenai letupan yang berlaku di tapak pembinaan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button