Politik

PRK Nenggiri: Bukti rakyat Kelantan terima kesepakatan gabungan Perpaduan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani di atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, semalam.

Kata Anwar, kemenangan ini membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan.

“Alhamdulillah, tahniah saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri semalam.

“(Ini) sekali gus membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan,” kata Anwar dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya, hari ini.

Perdana menteri seterusnya menambah, kemenangan ini merupakan penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI.

“(Ia) selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.

“Insya Allah, kemenangan ini menjadi suntikan moral untuk Kerajaan MADANI tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi,” kata Anwar lagi.

Dalam PRK Nenggiri semalam, Mohd Azmawi berjaya memenangi kerusi tersebut dengan 9,091 undi, mengalahkan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti sebanyak 3,352 undi.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button