Berita Semasa

Semua anggota MALBATT 850-12 termasuk yang cedera selamat tiba di Kem Marakah – ATM

KUALA LUMPUR – Konvoi pertama Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) yang terlibat dalam kejadian letupan di Beirut semalam selamat tiba di Kem Marakah pada hari yang sama, sekitar jam 5.30 petang waktu Lubnan.

Menurut Angkatan Tentera Malaysia (ATM), konvoi itu tiba bersama dengan lima daripada enam anggota yang mengalami kecederaan ringan.

“Salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga telah dibenarkan keluar hari ini, jam 12.01 pagi waktu Lubnan (6.01 pagi waktu Malaysia), dan kini berada di Kem Marakah bersama anggota lain.

“Semua anggota kini selamat berada di kem,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850 di Kem Marakah dan akan meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya.

“Pihak United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) sedang menyiasat
kejadian serangan di Lebanese Armed Forces (LAF) Check Point, Stadium Saida yang melibatkan konvoi MALBATT 850-12 tersebut.

“ATM akan meneruskan rancangan pertukaran terup antara MALBATT 850-11 dan MALBATT 850-12 mengikut jadual yang telah dirancangkan oleh pihak UNIFIL.

“Perkara tersebut turut dilaksanakan oleh beberapa negara yang menghantar terup
pengaman ke UNIFIL, yang terlibat dalam rancangan pertukaran terup pada bulan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu katanya, kumpulan kedua
MALBATT 850-12 dijangka akan berlepas pada Ahad ini dengan berkekuatan
seramai 219 orang.

“Terup MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum diatur gerakkan ke Lubnan.

“Mereka tetap mempamerkan moral dan semangat juang yang tinggi.

“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota
dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) dan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama (MKAB) berkenaan perkembangan insiden tersebut,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button