SPRM bekukan akaun persendirian, syarikat milik Vivy, suami
PUTRAJAYA – Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan sudah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Menurut sumber, pembekuan itu melibatkan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini, yanng dianggarkan bernilai kira-kira RM1.1 juta.
“Pembekuan menerusi Op Favish itu susulan siasatan terhadap pasangan terbabit berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
“SPRM sudah merakam beberapa keterangan individu penting merangkumi pegawai kanan Khazanah, PNB, Fashion Valet, akauntan, penilai syarikat dan introducer,” kata sumber berkenaan.
Laporan media sebelum ini menyebut, pihak SPRM secara serentak menyerbu pejabat FashionValet, Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB bagi mendapatkan dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan, Isnin lepas.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM menggeledah kediaman pasangan suami isteri pengasas platform e-dagang itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Dalam penggeledahan itu, SPRM turut menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira RM200,000.