MCMC, MIDA jalankan Kajian Penilaian Ketersediaan 5G untuk Industri Malaysia
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menjalankan Kajian Penilaian Ketersediaan 5G untuk Industri Malaysia yang pertama.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kajian itu akan digunakan untuk menilai kesediaan syarikat dalam mengadaptasi teknologi berasaskan 5G, mengenal pasti cabaran dalam penggunaan 5G dalam kalangan syarikat, serta mendapatkan input untuk inovasi yang lebih baik dan meningkatkan kualiti penyedia perkhidmatan.
“Ketersediaan perkhidmatan 5G yang meluas akan menyokong industri-industri kritikal, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam aspek inovasi, kecekapan, dan daya saing mereka dalam landskap digital yang pantas berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, kajian itu akan berlangsung sehingga 1 Disember 2024, dengan tujuan untuk menganalisis jurang penerimaan 5G dalam kalangan syarikat dalam industri yang dikenal pasti di Malaysia.
Katanya, penyertaan oleh pihak perusahaan adalah penting dalam menyokong inisiatif MCMC dan MIDA untuk memajukan penyebaran teknologi 5G.
“Syarikat-syarikat dijemput untuk mengambil bahagian dengan mengakses portal kajian melalui pautan 5G Readiness Assessment Survey for Malaysian Industries 2024
“Semua maklumat yang diberikan adalah sulit dan hanya digunakan untuk tujuan kajian tersebut.
“Tiada maklumat syarikat individu akan dikongsi; semua data akan dikumpulkan secara agregat untuk memastikan keperibadian terpelihara. Sebarang perubahan terhadap tempoh kajian akan diumumkan di laman sesawang MCMC: http://www.mcmc.gov.my,” ujarnya.