113 pelajar diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia
KUALA LUMPUR – Seramai 113 orang pelajar diraikan hari ini dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2024 meliputi Zon Tengah di Wisma Pertahanan, di sini.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), Majlis AKP ATM merupakan program inisiatif dikelolakan oleh MINDEF, Jabatan Arah Pendidikan (JAP) ATM dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Katanya, sejak tahun 1991, Yayasan LTAT atau sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Warisan Perajurit telah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 ribu anak-anak warga ATM dengan peruntukan sebanyak RM 12 juta.
Justeru itu, majlis tersebut merupakan satu manifestasi penghargaan khas serta galakan buat anak-anak warga ATM yang telah memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.
“Pengiktirafan yang diberikan ini sedikit sebanyak dilihat mampu menjadi suri teladan dan inspirasi kepada anak-anak warga ATM yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis AKP ATM di Wisma Pertahanan, di ibu negara, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Tan Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM.
Turut hadir, Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara); Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr. Mohamad Nizar Sudin.
Dalam majlis yang sama, penerima anugerah yang juga anak anggota TUDM, Muhammad Nazirul Amsyar Norazan, 18, menzahirkan penghargaan kepada MINDEF atas penganjuran Majlis AKP ATM.
“Saya berasa bangga atas anugerah yang saya terima pada hari ini kerana hasil usaha saya dalam SPM telah dihargai,” katanya yang memperoleh 9A dalam SPM.
Sementara itu, Fatin Dayini Deeno @ Mohd Nazmi, 18, menyifatkan inisiatif tuisyen percuma yang disediakan Yayasan LTAT dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah banyak membantunya sehingga berjaya mendapat 8A.
“Saya harap inisiatif ini diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia banyak membantu saya dalam mengulang kaji mata pelajaran,” katanya yang merupakan anak anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).
Dalam pada itu, MINDEF berkata, selaras dengan Teras Ketiga Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 (Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan) dalam aspek memperkasakan pendidikan.
“Yayasan LTAT juga sentiasa menyokong dan berusaha mewujudkan pelbagai inisiatif baharu meliputi Program Sentuhan Elit SPM, Jejak Bakat Anak Tentera dan LAKSAMANA yang telah terbukti berjaya menyumbang kepada kejayaan anak-anak warga ATM dalam pendidikan,” katanya.
Sementara itu, MINDEF berkata, penganjuran majlis ini juga menterjemahkan komitmen dan iltizam berterusan MINDEF bersama Yayasan LTAT dalam meningkatkan kesejahteraan pendidikan anak-anak warga ATM.