Jenayah & Mahkamah

SPRM serbu FashionValet, PNB, Khazanah dan sebuah kementerian

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu sebuah kementerian, pejabat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Bhd (PNB) serta ibu pejabat FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) di Bangsar.

Dalam siaran di laman TikTok rasmi SPRM hari ini, sebanyak empat lokasi berkaitan pelaburan dalam FashionValet diserbu penyiasat SPRM untuk membantu siasatan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta.

Dalam video itu turut kelihatan dua individu dipercayai pengasas bersama FashionValet iaitu Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar disoal siasat pegawai SPRM.

Namun kedua-dua wajah mereka dimozekkan.

“Semua empat lokasi itu diserbu serentak hari ini,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menyiasat pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah pada 2 November lalu mengarahkan audit dalaman berhubung perkara itu.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis Parlimen pada 28 Oktober lalu, menyatakan nilai saham Khazanah Nasional dan PNB dalam FashionValet menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023 berbanding jumlah yang dibelanjakan pada 2018.

Ia juga menyatakan Khazanah melabur RM27 juta dan PNB RM20 juta untuk memperoleh pegangan minoriti dalam jenama fesyen itu dalam rancangan untuk meningkatkan perniagaan Bumiputera dalam sektor e-dagang.

Bagaimanapun, MoF berkata FashionValet kemudiannya dilanda masalah kewangan ketika pandemik COVID-19, walaupun tempoh sama meningkatkan jualan banyak perniagaan e-dagang tempatan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button