Berita SemasaJenayah & Mahkamah

RM800,000 lenyap dalam pelaburan tender pembekalan makanan sekolah

BATU PAHAT – Seorang peniaga berusia 48 tahun kerugian RM800,000 selepas ditipu melalui tender pelaburan pembekalan makanan ke sekolah yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa membuat laporan selepas menyedari dirinya ditipu apabila keuntungan daripada pelaburan jangka pendek itu tidak diterima.

Beliau berkata, mangsa mendakwa mengenali suspek dalam satu pertemuan di daerah ini pada tahun lalu.

“Dalam pertemuan itu mangsa ditawarkan tender pelaburan membekal makanan ke sekolah bermula dari 1 Julai 2023 sehingga 31 Oktober 2025.

“Suspek menawarkan keuntungan sebanyak 17 peratus daripada pelaburan itu.

“Bemrula 1 hingga 4 Oktober tahun lalu, pengadu telah mengeluarkan cek di atas nama suspek secara serahan tangan dan juga mesin cek deposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sebelum membuat pelaburan atau sebagainya, perlu menyemak semula tawaran sekiranya wujud keraguan.

“Semakan boleh dibuat melalui Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp untuk mendapatkan maklumat terutama berkaitan jenayah komersial,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button