Lawatan ke Switzerland bakal jadi pembuka kerjasama pendidikan tinggi lebih meluas – Zambry
BERN, Switzerland – Lawatan rasmi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ke Switzerland bakal menjadi pembuka kepada lebih banyak kerjasama meluas merentasi rantau ASEAN melalui Malaysia dan juga benua Eropah melalui Switzerland.
Menurut Zambry dalam satu kenyataan hari ini, beliau berada di negara tersebut hingga 9 September ini bagi memenuhi jemputan daripada Institut Perdagangan Dunia (WTI) bagi menghadiri World Trade Forum, di sini.
“Dalam rangka lawatan hari pertama, saya telah mengadakan pertemuan dua hala dengan State Secretary for Education, Research and Innovation (SERI), Professor Dr. Martina Hirayama, bagi membincangkan mengenai inisiatif program pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidik antara kedua-dua negara,” kata Zambry, hari ini.
Delegasi Malaysia kali ini turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Jelas Zambry, Switzerland adalah antara negara yang aktif dalam memperkasakan pendidikan TVET yang bermula daripada peringkat pengajian vokasional, dengan dua pertiga pelajar Switzerland memilih latihan vokasional berbanding laluan akademik tradisional.
“Ini juga selari dengan Dasar TVET negara yang sedang dilaksanakan dan ini sangat baik untuk kita saling berkongsi dan bertukar pandangan berkaitan perkara berkenaan TVET,” katanya.
Zambry kemudiannya memberitahu, beliau dan delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) iaitu sebuah universiti penyelidikan awam yang berada pada kedudukan 26 terbaik dunia.
“KPT sedang merangka kolaborasi antara universiti di Malaysia dengan EPFL melalui program yang akan direncana terutamanya dalam bidang AI.
“Ini juga sebagai langkah awal untuk kita membentuk gagasan kerjasama baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara antara Malaysia dengan Switzerland dan juga antara rantau ASEAN dengan Benua Eropah,” katanya lagi.