Wanita didakwa miliki 38 penerbitan berkaitan Al-Arqam
KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas yang juga ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki 38 bahan penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam pada bulan lalu.
Tertuduh, Aishah Bula Tajudin, 60, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad.
Mengikut kertas pertuduhan, Aishah didakwa memiliki pelbagai hasil penerbitan berkaitan Al-Arqam, antaranya termasuk buku bertajuk Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imran Ashaari Muhammad At-Tamimi; Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah; Siri Terkini Era Kasih Sayang “Abuya Pemimpin Kasih Sayang” dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa alasan yang munasabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields, di sini, pada pukul 11.30 pagi, 21 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.