Berita SemasaPolitik

UMNO Kedah kritik “Blue Print The Greater Kedah” sebagai dokumen ciplak dan tidak realistik

ALOR SETAR – UMNO Kedah mengkritik pelancaran “Blue Print The Greater Kedah” oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan menyifatkan dokumen itu sebagai ciplak dan menuduh kepimpinan kerajaan negeri kekurangan idea serta sekadar menjual harapan kepada rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, 90 peratus daripada perancangan pembangunan yang dibentangkan dalam pelan tersebut sebenarnya merupakan projek berimpak tinggi yang diambil dari inisiatif kerajaan Persekutuan yang sebelum itu diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mempersoalkan sumber pembiayaan projek yang didakwa bakal dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan pusat bukan melalui peruntukan kerajaan negeri atau inisiatif SG4.

“UMNO Kedah melihat tindakan itu sebagai usaha memperbaharui strategi politik yang tidak berasas, menjual ilusi dan mimpi kepada rakyat Kedah.

“Kami menggesa Menteri Besar untuk berhenti daripada taktik politik murahan dan memberikan janji yang praktikal serta realistik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shaiful Hazizy juga mendakwa pelan tersebut sudah hilang nilai dan tidak membawa sebarang reputasi kerana Menteri Besar dan barisan Exco dikatakan gagal memenuhi janji-janji terdahulu.

Beliau berkata, kegagalan dalam beberapa projek utama, termasuk isu komitmen RM2.5 bilion oleh Tahira Air, pembangunan Widad Langkasuka di Langkawi dengan pelabur dari Timur Tengah bernilai RM45 bilion serta pengekalan pelaburan di Kedah Rubber City menimbulkan kebimbangan yang nyata dalam kalangan rakyat.

UMNO Kedah turut menyifatkan pelancaran “Blue Print The Greater Kedah” sebagai strategi politik yang lemah dan tidak berdaya saing

Shaiful Hazizy turut berkata, reputasi Menteri Besar dalam menyajikan harapan tanpa hasil bakal menyebabkan pelan itu kalah sebelum bertempur.

“UMNO Kedah percaya rakyat mahukan kepimpinan yang mampu merealisasikan projek yang nyata, bukannya ilusi politik yang tidak praktikal,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button