Pelaksaan fasa kedua pemberian baucar buku bermula Rabu ini
PUTRAJAYA – Inisiatif baucar buku kepada mahasiswa bagi fasa kedua akan bermula Rabu ini sehingga 30 Disember depan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan inisiatif bernilai RM100 bagi setiap baucar itu bakal memanfaatkan lebih 1 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) warga Malaysia.
Kata KPT, penyaluran baucar akan dilaksanakan melalui pelantar digital kepada pelajar yang berdaftar dan berstatus aktif sehingga 31 Mac 2024.
“Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal MySISWAPLACE di pautan https://mysiswaplace.my bermula Rabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut KPT, portal MySISWAPLACE di bawah kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang merupakan agensi rasmi di bawah KPT, dipilih bagi memudahkan urusan mahasiswa.
“MySISWAPLACE membantu pelajar dengan menyediakan akses mudah dan cepat kepada bahan bacaan melalui pelantar atas talian yang dilengkapi dengan sistem yang telus bagi memastikan pelajar sentiasa mempunyai bahan rujukan yang diperlukan, memaksimumkan keberkesanan pembelajaran dan mengurangkan kesulitan,” jelas kementerian itu.
Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke IPT.
Inisiatif tersebut bagi memupuk semangat membaca dalam kalangan rakyat generasi muda.