Berita Semasa

LTAT sampaikan sumbangan bernilai RM75,000 kepada MALBATT di Lubnan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama kumpulan syarikatnya menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada Kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 yang sedang bertugas di Lubnan.

Menurut Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi, sumbangan itu merupakan sokongan aktif pihaknya terhadap Misi Civil-Military Coordination (CIMIC) oleh MALBATT.

Katanya, ikhtiar itu menzahirkan komitmen LTAT dalam menyokong usaha anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta membantu rakyat Lubanan yang terkesan akibat konflik yang sedang berlaku di rantau tersebut.

“Ikhtiar ini melibat Boustead Holdings Berhad (Boustead), Boustead Plantation Berhad (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp) dan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) yang menyediakan barangan keperluan asas seperti yang dimohon oleh kontinjen MALBATT 850-12.

“Sumbangan ini, yang bernilai lebih daripada RM75,000 merangkumi beg sekolah, set alat tulis, tuala, lampin bayi, dan vitamin, yang akan digunakan untuk membantu komuniti yang terkesan di Lubnan,” katanya hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan keperluan asas daripada LTAT dan Kumpulan Syarikatnya kepada kontinjen MALBATT 850-12 diwakili oleh Komander Kol. Johan Effendi Mohd Shalleh.

Terdahulu LTAT menyampaikan sumbangan itu di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

Dalam pada itu, Ashraf Radzi berkata, LTAT komited sepenuhnya untuk menyokong wira-wira negara yang kini berkhidmat kepada negara mahupun dalam misi kemanusiaan di luar negara.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan dedikasi kami terhadap kebajikan anggota ATM serta tanggungjawab kami untuk membantu komuniti yang memerlukan, terutamanya dalam situasi konflik.

“LTAT berbangga dapat menyumbang kepada usaha kontinjen MALBATT di Lubnan.

“Ikhtiar ini menunjukkan kerjasama secara kolektif LTAT dan kumpulan syarikatnya. Setiap entiti telah bersatu untuk memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan khusus untuk misi ini, menegaskan komitmen kami terhadap inisiatif nasional yang melangkaui sempadan Malaysia,” tambahnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button