Uncategorized

Bajet 2025: Apa penyelesaian isu kos sara hidup, pengangguran?

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberi penjelasan secara lebih terperinci mengenai impak kos sara hidup yang ditanggung rakyat terutama dalam kalangan golongan marhaen susulan pengumuman Belanjawan 2025 yang dibentang pada Jumaat lalu.

Setiausaha Penerangan Bersatu Negeri Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, beberapa pengumuman dan pendekatan yang dirancang berkait dengan usaha menangani kos sara hidup dilihat masih lagi kabur dan membelenggu fikiran rakyat.

Beliau berkata, isu seperti penarikan subsidi RON95, peningkatan gaji minimum, pengkelasan T15 yang tidak begitu jelas menyebabkan rakyat tertanya-tanya tentang implikasi terhadap kedudukan kewangan.

“Isu kos sara hidup dan pengangguran masih gagal diselesaikan oleh Kerajaan MADANI apabila beberapa langkah yang diambil sebelum ini termasuk penarikan subsidi diesel dan lain-lain.

“Alasan kerajaan untuk menjimatkan wang negara ada kalanya betul namun adakah ia dapat menyelesaikan kos sara hidup dan pengangguran rakyat.

“Jika hidup rakyat semakin sukar, adakah bajet kali ini benar-benar membela nasib rakyat. Tindakan menarik balik subsidi perlu kena pada keadaan dan kaedahnya.

“Jika langkah itu menyebabkan meningkatnya kos sara hidup dan pengangguran, maka apa faedahnya?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Zulkifli berkata, alasan kerajaan untuk mengecualikan golongan berpendapatan tinggi daripada menikmati faedah subsidi juga tidak berasas kerana tidak akan memberi kesan kepada golongan itu.

“Sebaliknya, kena lihat kedudukan nasib orang-orang yang berpendapatan harian, berjawatan kontrak, bergaji kecil dan sederhana tapi tinggal di bandar dan banyak lagi.

“Mereka adalah golongan yang paling terkesan akibat kenaikan harga barang,” katanya.

Zulkifli seterusnya mencadangkan agar wakil-wakil kerajaan dalama kalangan kakitangan awam dan menteri supaya turun ke lapangan untuk bersemuka dengan rakyat untuk membolehkan pelbagai pertanyaan diajukan.

Menurutnya, langkah berdialog dan soal jawab dengan rakyat akan membolehkan penerangan jelas mengenai kos sara hidup dan pengangguran serta masa depan rakyat.

“Janganlah takut untuk bersemuka dengan rakyat kerana saya yakin banyak persoalan yang hendak diajukan. Rakyat tidak mahu pertanyaan mereka hanya disalurkan melalui surat atau emel.

“Tunjukkanlah sikap prihatin mengenai permasalahan rakyat dengan bertemu rakyat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai isu,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button