Berita Semasa

Belanjawan 2025 terus perkasa infrastruktur telco dan industri kreatif

PUTRAJAYA – Peruntukan RM2.55 bilion dibawah Belanjawan 2025 kepada Kementerian Komunikasi akan digunakan bagi memperkasa jaringan dan infrastruktur telekomunikasi, serta industri kreatif negara.

Menurut kementerian berkenaan dalam satu kenyataan hari ini, peruntukan tersebut akan dapat memperkukuh masyarakat dengan maklumat yang tepat dan sahih menerusi kandungan kreatif, penerangan dan penyiaran yang berintegriti.

“Sebanyak RM100 juta disediakan oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk lima 5 tahun bagi memperkasa fungsi NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional) di seluruh negara bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.

“Menerusi MCMC juga, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke sekolah-sekolah luar bandar dan RM120 juta kepada universiti awam, sekolah, kem tentera serta institusi MARA (Majlis Amanah Rakyat) untuk capaian Internet yang lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Peruntukan menerusi belanjawan ini juga dapat digunakan bagi menambahbaik perkhidmatan Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) untuk memenuhi keperluan pemanggil Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara itu, industri seni kreatif negara turut menerima suntikan menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (KDK).

Dana yang sebelum ini dikenali sebagai Dana Kandungan Digital (DKD) ini menerima lenaikan peruntukan kepada RM65 juta bagi mempromosi karya-karya berteraskan semangat kenegaraan

“(Sementara itu) Sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada MyCV (MyCreative Ventures) melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan pembiayaan untuk usahawan sosial kreatif.

“Kerajaan (akan) terus menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia dengan peruntukan hampir RM40 juta di bawah FIMI (Insentif Penerbitan Filem Malaysia),” katanya lagi.

Dan bagi menarik penyertaan lebih ramai golongan muda menceburi bidang seni, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi Program Belia Kreatif MADANI merangkumi bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek yang akan memanfaatkan 16,000 belia.

“Kementerian menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 yang merupakan kesinambungan kepada ikhtiar Kerajaan MADANI untuk memperkasa ekonomi dan mengangkat martabat rakyat.

“Oleh yang demikian, pihak kementerian (akan terus) memberi keutamaan kepada pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif sebagaimana diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 tercapai demi peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button