Stok bekalan dan simpanan beras negara mencukupi – Mohamed Sabu
KUALA LUMPUR – Stok bekalan dan penyimpanan beras negara masih mencukupi untuk tempoh lebih lima bulan.
Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya tetap giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan makanan khususnya komoditi terpilih seperti beras mencukupi.
Jelasnya, langkah itu termasuk meneruskan kerjasama dengan negara pengeluar lain termasuk ketika berlaku kecemasan.
“Sehingga Oktober 2024, jumlah keseluruhan stok beras termasuk ‘stock pile’ ialah 1.1 juta tan metrik mencukupi untuk 5.6 bulan.
“Bagi memenuhi keperluan bekalan beras, negara sumber dikenal pasti ialah Thailand, Vietnam, Pakistan dan Myanmar.
“Selain itu, KPKM melaksana pelbagai inisiatif bagi memastikan ketersediaan dan kecukupanmakanan khususnya komoditi terpilih. Antaranya kita cuba pergi kepada Smart Farming dalam padi, tetapi perkembangannya perlahan kerana penanam padi masih secara tradisi, hendak mengusahakan hak milik (tanah) mereka dan lambat untuk mencantumkan dan membuat skala besar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamed berkata demikian bagi menjawab Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai rancangan segera kementerian dalam memastikan bekalan sumber makanan negara terjamin.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKM juga melaksanakan rancangan segera untuk meningkatkan makanan yang berada pada Kadar Sara Diri (SSR) rendah.
“SSR lebih rendah antara rancangan segera dilaksanakan dengan mempelbagai sumber import bagi kurangkan kebergantungan kepada negara tertentu saja.
“Sebagai contoh, negara sumber bagi bekalan daging diperluaskan kepada sembilan negara iaitu India, Australia, Brazil, New Zealand, Pakistan, Jepun, Korea, Argentina dan Afrika Selatan,” katanya.
Katanya, insentif baharu juga perlu diperkenalkan bagi meningkatkan SSR ruminan.