Berita SemasaDalam Negeri

Saya tidak akan berdialog kerana menghormati pandangan semua pihak – Dr Mohd Na’im

KUALA LUMPUR – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar menolak pelawaan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berdialog berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, beliau juga tidak mahu melayan ajakan berdialog yang diutarakan Asri kerana menghormati pandangan semua pihak.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung kritikan keras terhadapnya seperti disuarakan Asri berkaitan RUU itu, antaranya memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.

“Saya menghormati pandangan semua orang, masing-masing ada pandangan hendak disuarakan dan saya hormati, jadi saya tiada komen (mengenai kritikan terhadapnya dan ajakan berdialog).

“Apa pun, banyak perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam bermula daripada perbezaan pendapat yang tidak diuruskan dengan sebaiknya,” katanya menurut Berita Harian selepas hadir program Seminar Adabul Ikhtilaf Peringkat Negeri Perak 2024: Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, di Ipoh, hari ini.

Pada 14 Oktober lalu, Asri yang lebih dikenali Dr Maza membuat pelawaan dialog membincangkan RUU tersebut kerana didakwa menyempitkan takrifan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.

Beliau turut meminta media rasmi kerajaan memberi ruang kepadanya berdialog dengan Na’im supaya rakyat dapat menilai kemampuan menteri itu.

Asri berkata, menteri hal ehwal agama sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan selaras dengan idea Madani.

Show More

Related Articles

Back to top button