Jasad lima mangsa bot regata karam ditemukan pagi tadi
KUCHING – Jasad lima mangsa yang terlibat dalam insiden bot regata karam semasa sesi latihan di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, Jumaat lepas ditemukan pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, jasad kesemua mangsa ditemukan secara berperingkat antara pukul 6.16 pagi hingga 7.09 pagi tadi.
“Kelima-lima mangsa telah dijumpai dan kini menunggu pengesahan daripada pihak polis serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Dua mangsa ditemukan pada pukul 6.16 pagi, satu lagi pada 6.40 pagi, Sarawak Coastguard menemukan seorang lagi pada 7.07 pagi, manakala mangsa terakhir ditemukan pada 7.09 pagi dengan bantuan dron,” katanya.
Mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi itu dikenali pasti sebagai Mohamad Ikhmal Sama’ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23 dan Mohamad Khairul Bidin, 26.
Semua jasad kemudiannya mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
Kesemua mangsa merupakan kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.40 petang Jumaat lalu, mangsa bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regata Sarawak pada 1 hingga 3 November depan.
Bagaimanapun, perahu panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai gelombang yang terhasil oleh kapal nelayan yang datang dari arah bertentangan.