Berita Semasa

Belanjawan 2025: RM18.1 bilion pacu pendidikan tinggi negara

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’.

Melalui belanjawan itu, KPT telah diperuntukkan RM18.1 bilion, yang merangkumi RM13.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.25 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peningkatan sebanyak 10.76 peratus berbanding tahun sebelumnya menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kepentingan pendidikan tinggi dalam kerangka Ekonomi Madani.

Menurut kenyataan KPT, peruntukan itu akan dimanfaatkan dalam pelbagai inisiatif termasuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan RM7.5 bilion. Antaranya ialah potongan cukai untuk syarikat yang menyumbangkan peralatan baru kepada institusi TVET, serta RM55 juta untuk melatih 10,000 anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok.

Sebanyak RM4 bilion juga diperuntukkan untuk biasiswa, pinjaman, dan elaun pendidikan, manakala RM635 juta akan digunakan untuk penambahbaikan prasarana dan internet di universiti awam. KPT turut menerima RM600 juta untuk meningkatkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Selain itu, RM500 juta diperuntukkan khusus kepada pelajar bidang STEM di IPTA melalui pembiayaan PTPTN, sementara pendidikan kecerdasan buatan (AI) akan diperluas dengan peruntukan RM50 juta kepada beberapa universiti penyelidikan.

UiTM turut menerima peruntukan RM20 juta bagi melahirkan jurutera dalam bidang E&E, manakala RM10 juta diberikan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan INCEIF University untuk memperkukuhkan kefahaman ekonomi Islam.

Kerajaan juga melanjutkan pelepasan cukai untuk simpanan SSPN dan memperluas rantaian geran padanan sehingga RM5,000 bagi simpanan dalam akaun SSPN. Program Celik Madani oleh PNB, dengan peruntukan RM5 juta, akan memanfaatkan 100,000 pelajar baru IPT.

Program Kampung Angkat Madani turut diperluas dengan peruntukan RM200 juta bagi 200 kampung seluruh negara, manakala RM100 juta diperuntukkan kepada universiti awam dan institusi TVET untuk perkhidmatan baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti.

Dalam usaha memperkukuhkan capaian internet, RM100 juta diperuntukkan untuk universiti awam dan sekolah dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Program pembelajaran sepanjang hayat melalui APEL Q juga akan ditawarkan dengan kerajaan menanggung 50 peratus kos pengajian penjawat awam yang berkhidmat lebih 15 tahun.

Kementerian turut menyambut baik langkah pengurangan subsidi pendidikan secara berperingkat kepada kumpulan pendapatan tertinggi, yang akan digunakan untuk penambahbaikan prasarana di IPTA.

Inisiatif lain termasuk pelaksanaan klinik bergerak oleh Hospital Pengajar Universiti seperti saringan mamogram oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk masyarakat pedalaman.

KPT berjanji akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong aspirasi Belanjawan 2025 demi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Show More

Related Articles

Back to top button