Uncategorized

Belanjawan 2025: Nga Kor Ming puji langkah proaktif kerajaan bantu rakyat

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai satu langkah yang progresif, inklusif dan mampan meskipun berdepan cabaran kewangan serta konflik serantau.

Beliau berkata, usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 6 peratus pada 2022 kepada 3.8 peratus tahun hadapan selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pendapatan kerajaan dijangka bertambah dengan pembaharuan yang berjaya mengurangkan kebocoran dan pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kor Ming turut memuji langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar bagi RON 95, khusus untuk warga asing yang dijangka menjimatkan RM8 bilion. Penjimatan itu akan dapat digunakan untuk pembangunan negara.

“Sebanyak RM15.9 bilion turut diperuntukkan untuk membantu golongan miskin tegar, B40 dan M40, dengan keluarga berpendapatan terendah akan menerima bantuan kewangan sehingga RM13,000, menjadikan itubperuntukan kebajikan terbesar dalam sejarah,” katanya lagi.

Bagi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Kor Ming melahirkan rasa syukur apabila 14 inisiatif kewangan yang dicadangkan diluluskan, termasuk RM200 juta untuk penyelenggaraan perumahan awam kos rendah, RM289 juta untuk pembinaan dan penambahbaikan pasar, serta RM100 juta bagi pembinaan Taman Rekreasi Madani.

“Selain itu, hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk perumahan sosial dan mampu milik, membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat,” tambahnya lagi.

Kor Ming turut berkata, kementeriannya akan terus fokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan pembangunan bandar yang mampan.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat sebagai satu usaha menyeluruh bagi memastikan pembangunan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

Show More

Related Articles

Back to top button