GISBH : Ahli tidak berani bertindak kerana takut diancam
KUALA LUMPUR – Tidak ubah seperti menjadi ahli kepada pertubuhan kongsi gelap. Setiap ahli yang cuba keluar atau meninggalkan pergerakan Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan berdepan dengan ancaman dari ahli kumpulan yang lain.
Kewujudan ‘unit khas’ yang dinamakan Remaja Pembela Ummah (RPU) itu berfungsi sebagai pasukan yang akan bertindak sekiranya ada ahli yang berani memberontak atau menentang arahan ketua mereka.
Itu antara pendedahan yang dibuat oleh kumpulan peguam, aktivis terdiri dan enam bekas pengikut GISBH dalam satu sidang media bersama pempengaruh terkenal Caprice, hari ini.
“Ada diantara mereka yang diugut, ditukarkan ke daerah lain malah diasingkan dengan ahli keluarga apabila didapati ingkar atau cuba melawan pemimpin.
“Hukuman ini yang menyebabkan sebahagian daripada ahli tidak berani untuk tampil ke hadapan atau membuat aduan mengenai segala salah laku,” katanya.
Menurut bekas ahli GISBH, kerana ketakutan itu, ahli-ahli kekal patuh walaupun telah dieksploitasi sejak puluhan tahun lamanya.
“Segala dakwaan yang mengatakan kami bekerja tanpa gaji, hanya diberikan keperluan asas untuk menjalani kehidupan, tidak diberikan peluang pendidikan yang baik. Itu semua betul.
“Ada ahli yang dipisahkan, termasuk suami, isteri dan anak-anak sehingga menyebabkan hubungan kekeluargaan terjejas,” katanya.
Salah seorang daripada bekas ahli itu mendakwa, ketakutan dan kepatuhan kepada doktrin yang menyeleweng itu juga menyebabkan sebahagian daripada ahli menjadi taksub tanpa mengambil kira ajaran Islam yang sebenar.
Katanya, antara kepercayaan itu adalah kemunculan As-Sheikh Muhammad As-Suhaimi sebagai Imam Mahdi manakala bekas pemimpin Darul Arqam, Ashaari Muhammad dianggap sebagai pemuda Bani Tamim yang akan muncul pada akhir zaman.
“Sebab itu jugalah ahli kumpulan percaya bahawa rambut, janggut, serta barangan peribadi pemimpin GISBH mempunyai keberkatan.
“Itu belum kira penipuan status anak-anak di rumah amal yang dikatakan sebagai anak yatim untuk meraih simpati dan sumbangan.
“Paling menyedihkan bila semua hasil titik peluh pekerja, sumbangan ibu bapa dan orang luar kepada syarikat dinikmati dengan mewah oleh pemimpin-pemimpin tertinggi,” katanya.
Sementara itu, kumpulan peguam yang terdiri daripada – Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar (Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co) dan Ainur Rabiatuadawiyah Hassim (Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co) menyeru lebih ramai mangsa eksploitasi kumpulan itu tambil membuat pendedahan.
“Kerjasama mangsa sangat penting untuk membongkar segala rahsia GISBH. Lebih ramai yang tampil, lebih mudah usaha pemulihan dapat dijalankan.
“Kami yakin bahawa ketakutan GISBH sebenarnya terletak pada keberanian mangsa untuk tampil ke depan. GISBH telah menggunakan ugutan dan ancaman untuk mencipta ilusi ketakutan,” katanya lagi.
Ops Global pada September lalu mendedahkan kewujudan kes jenayah seksual dan eksploitasi kanak-kanak dalam organisasi GISBH yang wujud di seluruh negara.
Sehingga kini, usaha beberapa kementerian dan badan berkuasa telah menyelamatkan 625 kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi GISBH, angka sebenar mangsa yang terlibat dipercayai lebih tinggi.