Berita Semasa

MyDigital ID hanya kunci keselamatan, tiada keupayaan jejaki pergerakan digital pengguna

KUALA LUMPUR – Penggunaan MyDigital ID hanya terhad kepada pengesahan identiti dalam talian dan tidak mempunyai fungsi untuk menjejaki pergerakan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Mohd Mirza Mohamed Noor berkata, sistem ini dibangunkan khusus untuk tujuan pengesahan identiti individu, yang mana sijil digital disimpan pada peranti peribadi pengguna.

MOHD. MIRZA

“Hanya sijil digital pengesahan individu, yang dilengkapi dengan ciri keselamatan unik, akan kekal tersimpan secara eksklusif pada peranti peribadi individu berkenaan,” kata Mohd Mirza dalam satu temubual, baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan yang mengatakan sistem ini digunakan untuk menjejaki pergerakan digital individu adalah tidak benar sama sekali.

“Kita tidak mempunyai keupayaan untuk menjejaki pergerakan individu melalui MyDigital ID, kerana tidak ada sebarang data yang direkod dan disimpan.”

Sementara itu, penggunaan MyDigital ID juga akan memudahkan akses ke perkhidmatan kerajaan, serta tidak lagi terhad kepada urusan di kaunter sahaja, sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau menjelaskan, beberapa perkhidmatan kerajaan memerlukan kehadiran individu ke kaunter fizikal untuk tujuan pengesahan biometrik.

“Kini, urusan di kaunter boleh diselesaikan dengan lebih mudah melalui aplikasi itu sendiri kerana biometrik pengguna telah disahkan melalui MyDigital ID. Ia juga berfungsi sebagai kunci keselamatan yang sah untuk mengakses perkhidmatan dalam talian,” jelasnya.

Mohd. Mirza kemudian menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai contoh.

“Dengan aplikasi MyJPJ, pengguna boleh mengakses 27 jenis perkhidmatan menerusi telefon pintar atau komputer. Walau bagaimanapun, beberapa urusan yang memerlukan pengesahan identiti masih memerlukan kehadiran fizikal di kaunter JPJ.

“Dengan MyDigital ID, pengguna boleh mengakses 11 lagi perkhidmatan tambahan yang sebelum ini hanya boleh dilakukan di kaunter fizikal.

“Ini sekaligus menjimatkan masa dan kos pengguna, mengelakkan mereka daripada perlu beratur panjang atau mengambil cuti untuk menyelesaikan urusan,” katanya.

Mohd Mirza turut menyebut bahawa MyDigital ID membuka peluang untuk perkhidmatan kerajaan dalam talian dapat dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja.

“Jika sebelum ini, perkhidmatan kerajaan terhad kepada waktu pejabat.

“Dengan MyDigital ID, identiti pengguna telah disahkan secara teliti dan menyeluruh, membolehkan urusan harian rakyat dapat dijalankan tanpa terikat dengan kekangan waktu, memastikan akses yang lebih fleksibel sepanjang masa,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button