Berita Semasa

Co-opbank Pertama catat keuntungan memberangsangkan

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) menjangkakan prestasi kewangannya akan terus kekal kukuh selepas merekodkan peningkatan keuntungan secara konsisten dari tahun 2018 hingga 2022.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar, prestasi yang memberangsangkan itu adalah hasil daripada sokongan semua pihak termasuk  semua warga CBP.

“Jika dilihat prestasi CBP untuk lima tahun kebelakangan ini, prestasi CBP mencatatkan keuntungan sebanyak RM52.7 juta (2018), RM73.9 juta (2019), RM85.1 juta (2020), RM86.2 juta (2021) dan RM103.4 juta (2022),” katanya dalam satu temu bual bersama Malaysia Tribune baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khairil Anuar berkata,  antara penyumbang utama yang memacu prestasi baik tersebut adalah Pembiayaan Peribadi-i dan disokong oleh pembiayaan-pembiayaan lain seperti pembiayaan Perumahan-I, pembiayaan koperasi dan korporat, pembiayaan hartanah-| dan pembiayaan menerusi penulisan wasiat dan bancatakaful.

“Jika saya boleh kongsikan, untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, CBP telah mengeluarkan pembiayaan bersih sehingga lebih RM5 billion dan ini merupakan rekod yang terbesar pernah dicapai oleh CBP,” katanya lagi.

Menurut Khairil, CBP yang kini mempunyai 30 buah cawangan di seluruh negara, mengalu-alukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa bagi mendapatkan pembiayaan-pembiayaan di CBP.

Tambah beliau, CBP kini dalam proses menaik taraf sistem perbankan teras CBP menerusi Projek FIRST yang dijangka akan siap pada suku ketiga hadapan.

“Orang ramai sama ada yang kakitangan awam, swasta dan juga yang bekerja sendiri boleh mendapatkan pembiayaan-pembiayaan di CBP tetapi tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh CBP.

“CBP juga akan terus menawarkan dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan perbankan baharu dari masa ke masa mengikut keperluan dan kehendak orang ramai seperti pembiayaan sewa beli, pembiayaan mikro, dan beberapa produk lain yang telah dirancang,” ujarnya lagi.

Lebih menarik lagi, orang ramai berpeluang untuk memenangi Wafer Emas seberat 10 gram setiap satu apabila melakukan simpanan di CBP menerusi promosi terbaharu yang sedang dijalankan.

Menurut Khairil lagi, promosi yang dilakukan ini adalah lanjutan daripada Kempen Hello CBP yang sedang berlangsung bermula dari 1 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023 ini.

“Menerusi promosi terbaharu ini, CBP menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM150,000 di mana di antara hadiah yang ditawarkan adalah Wafer Emas 10 gram, telefon bimbit iPhone 13 Pro Max, Samsung Galaxy S23+, Samsung Galaxy Watch 5 Pro dan juga wang tunai.

“Promosi ini boleh disertai oleh pelanggan-pelanggan individu dan bukan individu baharu dan sedia ada dengan mengekalkan baki minimum RM500 untuk individu dan RM1,000 untuk bukan individu bagi bulan semasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button