Berita Semasa

Muhyiddin setuju pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan.

Ahli Parlimen Pagoh yang mewakili Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau bersetuju terhadap pindaan yang memberikan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara dengan ibunya merupakan warga Malaysia.

“Saya bersetuju dengan pindaan yang memberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak-anak dalam kategori ini, hanya untuk satu generasi sahaja.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meminta kerajaan memperhalusi pindaan berkenaan dengan mengambil kira anak pemastautin tetap yang lahir di negara ini untuk menjadi warganegara.

“Bagi saya ini adalah mekanisme kawalan penting untuk memastikan kelonggaran kepada hak kewarganegaraan yang diberikan melalui pindaan Perlembagaan ini tidak disalahgunakan.

“Saya percaya kita sebagai rakyat yang setia kepada negara tidak mahu suatu masa nanti wujud generasi yang melaksanakan hak sebagai warganegara, termasuk mengundi pada pilihan raya, tetapi seumur hidupnya tinggal di luar negara dan tidak menumpahkan taat setia kepada Malaysia.

“Kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi negara. Ia tidak boleh diberi secara sewenang-wenangnya. Perlembagaan Persekutuan meletakkan syarat ketat untuk melayakkan individu menjadi warganegara Malaysia,” katanya.

Pengerusi PN itu juga turut memberi cadangan agar pindaan tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas agar ia dapat diteliti dan ditambah baik.

“Pindaan Perlembagaan ini bertujuan untuk memperkemaskan lagi undang-undang kewarganegaraan, namun masih ada beberapa kelompangan, terutama mengenai kebajikan kanak-kanak dan wanita yang masih perlu diperbaiki,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button