Khaled Nordin terima kunjungan hormat syarikat terkemuka sektor aeroangkasa, pertahanan Perancis
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Thales International, Pascale Sourisse bersama delegasi di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.
Menurut beliau, Thales adalah sebuah syarikat multinasional Perancis terkemuka dalam sektor aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan.
“Antara yang dibincangkan adalah dalam soal mengembangkan keupayaan industri pertahanan tempatan, selari dengan usaha negara kini ke arah “self-reliance”.
“Saya percaya matlamat yang ingin dijayakan ini dapat dibantu oleh pemain industri global seperti melalui pemindahan teknologi dan Program Kolaborasi Industri (ICP),” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu beliau turut berharap hubungan baik yang terjalin selama ini dapat terus ditingkatkan dan memberikan manfaat kepada industri pertahanan tempatan dan negara.