Sukan

KBS komited perkasa program latihan kemahiran golf belia di penjara seluruh Malaysia

KAJANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia komited untuk memperkasakan program latihan kemahiran golf dalam kalangan belia di penjara seluruh Malaysia.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, menerusi program tersebut, ianya dapat membantu meningkatkan kompetensi individu serta membuka peluang kepada mereka menceburi bidang pekerjaan dalam sektor industri golf.

“Tiada siapa akan ditinggalkan dalam agenda pembangunan belia di bawah KBS. Saya akan pastikan semua kelompok belia mendapat akses kepada latihan kemahiran dan pembangunan dalam pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau semasa Majlis Ramah Mesra Menteri Belia dan Sukan bersama peserta Program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), KBS, Ramona Mohd Razali.

Majlis Ramah Mesra Menteri Belia dan Sukan bersama peserta Program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Mengulas mengenai Program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG, Hannah berkata, seramai 20 prospek akan menjalani latihan perkhidmatan kedi selama lima hari bermula 14 hingga 18 Oktober ini.

Hannah berkata, beliau percaya dengan bimbingan tenaga pengajar bertauliah daripada Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG), para peserta akan mendapat latihan yang berkualiti.

“Latihan ini sebenarnya sebahagian daripada inisiatif pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah KBS.

“Latihan dibahagikan kepada program latihan kemahiran sepenuh masa dan separuh masa. Pendekatan latihan kemahiran pada ketika ini adalah lebih fleksible.

“Oleh sebab itu, latihan perkhidmatan kedi ini mampu disertai khususnya kepada prospek-prospek di Penjara Kajang. Kaedah latihan merangkumi teori, amali dan tugas di lapangan,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button