Cabul murid, guru penolong kanan ditahan reman
IPOH – Seorang guru penolong kanan ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Ipoh, Sabtu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan selepas menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 3 petang pada Jumaat.
“Pengadu melaporkan anak perempuannya yang berusia 12 tahun telah dipeluk dan dicium serta menerima gambar tidak senonoh daripada suspek yang baru lapan bulan bertugas di sekolah berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membuat tangkapan terhadap suspek untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Online hari ini.
Menurut Azizi, siasatan mendapati suspek yang masih bujang telah beberapa kali melakukan perbuatan itu dan setakat ini melibatkan seorang mangsa.
“Suspek yang tiada rekod jenayah direman selama enam hari bermula Sabtu hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Semalam media melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi khidmat kaunseling kepada mangsa yang dilaporkan mengalami gangguan seksual oleh guru terbabit.