Sesi persekolahan bagi 2025/2026 bermula Februari
PUTRAJAYA – Sesi penggal persekolahan bagi sesi 2025/2026 akan bermula pada 17 Februari bagi negeri yang berada dalam Kumpulan B, manakala sehari lebih awal bagi negeri yang berada dalam Kumpulan A.
Untuk rekod, negeri di dalam Kumpulan A adalah Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Bagi Johor, negeri tersebut kini tersenarai dalam negeri Kumpulan B berikutan pertukaran semula cuti hujung minggu kepada hari Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025 seperti yang dititahkan oleh Pemangku Sultan Johor, DYAM Tengku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, baru-baru ini.
Menurut laman web Kementerian Pendidikan (KPM), sesi persekolahan akan datang mempunyai 194 hari persekolahan, dengan 44 hari cuti.
Takwim sama turut memperuntukkan cuti tambahan bagi perayaan, iaitu bagi Hari Raya Aidilfitri, sekolah-sekolah Kumpulan B akan ditutup pada 30 Mac dan 2 hingga 3 April, manakala negeri dalam Kumpulan B akan bercuti dari 2 hingga 4 April.
Begitu juga untuk Deepavali, sekolah-sekolah Kumpulan A akan ditutup pada 19 dan 21 Oktober, manakala sekolah-sekolah Kumpulan B akan bercuti dari 21 hingga 22 Oktober, kecuali Sarawak yang akan bercuti pada 20 Oktober.