Berita Semasa

Media perlu bertanggung jawab, jaga aib dan batas dalam pelaporan berita – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pengamal media diingatkan supaya melaporkan berita dengan bertanggung jawab dan mengambil kira aspek kemasyarakatan termasuk menjaga aib, batas dan adab.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, teguran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada media pada khutbah Jumaat Selangor minggu lalu, berkaitan liputan keterlaluan isu perceraian personaliti terkenal, Nur Fazura dan Fattah Amin baru-baru ini perlu diberi perhatian.

“Nasihat ini terpakai bila-bila masa bukan hanya dalam isu seperti ini. Tidak menjadi masalah untuk media membuat pelaporan tetapi pada masa yang sama media perlu mendidik dan memupuk satu sikap dalam kalangan rakyat.

“Itulah sebab kita berharap secara umumnya media memainkan peranan menyampaikan pelaporan dengan mengambil kira aspek-aspek kemasyarakatan,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Lembah Pantai di IWK Eco Park, di sini malam tadi.

Beliau turut memberi contoh, antaranya ketika melaporkan mengenai kanak-kanak dalam sesuatu kes jenayah, etika kewartawanan masih perlu diikuti seperti wajah mereka tidak boleh dipaparkan sewenang-wenangnya.

Mengenai isu perceraian kedua artis berkenaan, kata Fahmi, pada hari isu perceraian pasangan itu dilaporkan, beliau dapati lima daripada tujuh hingga lapan surat khabar yang beliau langgan setiap hari, memaparkan berita sensasi itu di muka hadapan.

Katanya, pengamal media agar melakukan pelaporan dengan lebih beretika demi Malaysia yang lebih baik kerana respons masyarakat terhadap sesuatu isu juga bergantung kepada pelaporan media.

Dalam khutbah Jumaat minggu lalu yang berjudul “Kukuhkan Ikatan Perkahwinan, Elakkan Penceraian”, JAIS menegur pihak media supaya menghormati privasi pasangan selebriti berkenaan susulan penularan berita yang meluas mengenai perceraian mereka.

Khutbah itu menjelaskan. perceraian bukanlah sesuatu yang harus digembar-gemburkan kerana ia merupakan satu pengalaman yang sangat peribadi, pahit dan menyakitkan.

Oleh itu, media seharusnya berperanan dalam membina masyarakat yang positif dan sihat, dan bukannya memburukkan keadaan.

Show More

Related Articles

Back to top button