Sukan

“Hari ini Allah pilih saya,” kata Artur selepas rangkul empat tali pinggang Light Heavyweight

ARAB SAUDI – Penentuan gelaran petinju kategori Light Heavyweight terhebat pada dekad ini terjawab apabila Artur Beterbiev berjaya menewaskan Dmitry Bivol menerusi keputusan majoriti awal pagi tadi.

Kedua-dua petinju yang turun dengan rekod sempurna iaitu tidak pernah kalah dalam mana-mana perlawanan sebelum ini menampilkan aksi yang cukup bertenaga sepanjang 12 pusingan di Kingdom Arena, Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, dua juri menyebelahi Artur dengan keputusan 115-113, 116-112, manakala seorang lagi juri memberi markah 114-114 iaitu seri, sekali gus menyaksikan Artur berjaya melengkapkan koleksi tali pinggang WBC, WBO, IBF dan WBA.

Artur yang kini berusia 39 tahun menyifatkan Bivol sebagai lawan yang sukar memandangkan kesemua lawan dia sebelum ini tewas dengan keputusan ‘knockout’ (KO) dan ini kali pertama Artur beraksi sehingga pusingan ke-12.

“Saya rasa saya tidak teruk hari ini. Saya rasa perlawanan hari ini menarik dan saya akan jadi yang terbaik satu hari nanti.

“Sudah tentu ianya perlawanan yang sukar kerana Bivol merupakan petinju yang bagus dari segi skilnya, mungkin lebih bagus daripada saya, tapi hari ini Allah memilih saya,” kata atlet kelahiran Russia itu selepas perlawanan.

Bivol (kanan) menyatakan kesediaanya untuk perlawanan semula (rematch) ketika ditemu bual selepas perlawanan.

Sementara itu, Bivol, 33, yang turut ditemui selepas perlawanan menyatakan bahawa Artur layak untuk menjadi juara, selain enggan memberi alasan atas kekalahan pertama dalam karier profesionalnya itu.

“Tahniah kepada Artur dia layak untuk menjadi juara, tiada masalah untuk saya dan saya enggan memberi alasan atas kekalahan ini,” katanya sambil mengakui Artur mempunyai tumbukan yang kuat.

Ditanya adakah mereka ingin melakukan perlawanan semula (rematch), kedua-dua petinju berkata, mereka terbuka dengan perkara itu sekiranya diberi peluang.

Dengan kemenangan ini, Artur melebarkan karier profesionalnya dengan rekod sempurna 21-0, manakala Bivol dengan rekod 23-1.

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama dalam sejarah tinju apabila perlawanan membabitkan empat gelaran dunia diadakan bagi divisi Light Heavyweight.

Show More

Related Articles

Back to top button