Berita Semasa

RM99 juta diperuntukkan bagi laksana inisiatif program JENDELA, Perajurit Broadband

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM99 juta daripada RM21 bilion yang diperuntukkan di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan digunakan bagi inisiatif bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan premis Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpilih di seluruh negara, khususnya penghuni Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

“Pertama, kita mahu memastikan wujud Infrastruktur Fiber Optik di semua 73 kem atau pangkalan yang terlibat, yang secara kasarnya akan melibatkan sebanyak 59,420 pintu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

“Kedua, kita mahu menambah baik perkhidmatan liputan selular sedia ada di dalam pelbagai kawasan RKAT.

“Ketiga, kita mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan Internet dengan kos yang rendah terutama kepada warga MINDEF dan anggota tentera khususnya anggota Lain-Lain Pangkat yang juga dikategorikan sebagai golongan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband Program JENDELA Kementerian Pertahanan yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di ibu negara hari ini.

Pada majlis yang sama, Fahmi dan Khaled turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Penyerahan MoU antara ATM dengan MCMC sebagai tanda jalinan kerjasama strategik. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din menyerahkan MoU kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman sebagai tanda jalinan kerjasama strategik antara MCMC dengan ATM.

Mengulas mengenai inisiatif Perajurit Broadband, Khaled berkata, bagi memastikan kos perkhidmatan yang rendah, pakej langganan bagi perkhidmatan jalur lebar itu ditetapkan pada harga mampu milik iaitu serendah RM49 dengan kelajuan 100Mbps.

Jelas beliau, harga yang murah itu adalah satu pengiktirafan dan cara Kerajaan Perpaduan menghargai jasa serta pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Bagi pihak MINDEF dan ATM, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Kementerian Komunikasi, khususnya MCMC atas kerjasama ini.

“Dalam konteks inisiatif pada hari ini, ia akan tentunya memberi lonjakan penting kepada kualiti hidup, kesejahteraan dan kebajikan warga ATM, khususnya mereka yang tinggal dan berada di dalam kem- kem di seluruh negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button