Luar Negara

Dua anggota pengaman PBB cedera, menara pemerhati dibedil rejim Zionis

BEIRUT – Dua anggota pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) dilaporkan cedera setelah terkena tembakan kereta kebal tentera rejim Zionis.

Menurut UNIFIL dalam satu kenyataan, kejadian berlaku di ibu pejabatnya di Naqoura, selatan Lebanon, semalam, lapor agensi berita Xinhua.

“Pagi ini (semalam), dua anggota pengaman cedera selepas kereta kebal Merkava rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah menara pemerhati di ibu pejabat UNIFIL di Naqoura, mengenai secara langsung dan menyebabkan mereka jatuh,” kata agensi PBB itu dalam satu kenyataan.

Kedua-dua anggota yang tidak dinamakan negara asalnya itu, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan masih dirawat di hospital.

UNIFIL turut menyatakan bahawa tentera Zionis turut melepaskan tembakan ke kedudukan UNIFIL di Labbouneh, yang mengenai pintu masuk ke bunker tempat anggota pengaman berlindung, serta merosakkan kenderaan dan sistem komunikasi.

Sebuah dron IDF juga dikesan terbang di dalam kawasan UNIFIL hingga ke pintu masuk bunker itu, katanya.

Menurut UNIFIL, tentera IDF sengaja melepaskan tembakan dan merosakkan kamera pengawasan di sekitar lokasi itu, kelmarin.

IDF turut sengaja melepaskan tembakan ke arah pos pemerhati UN 1-32A di Ras al-Naqoura, tempat mesyuarat tiga pihak diadakan secara tetap sebelum konflik, merosakkan lampu dan stesen geganti.

UNIFIL menggesa Israel memastikan keselamatan dan keamanan anggota serta harta benda PBB, sambil menegaskan bahawa “sebarang serangan yang disengajakan terhadap anggota pengaman merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan 1701.

Sejak 23 September, tentera Israel melancarkan serangan udara besar-besaran yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas Lubnan dalam peningkatan konflik dengan Hizbullah.

Show More

Related Articles

Back to top button