Telegram sedia kerjasama dengan agensi penguatkuasaan, badan kawal selia – Fahmi
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan perbincangan berterusan dengan pengendali aplikasi Telegram bagi mendapatkan kerjasama yang lebih besar dalam menangani jenayah siber.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini berkata, duta Perancis ke Malaysia baru-baru ini menyebut bagaimana pengasas Telegram, Pavel Durov, telah ditahan dan didakwa di Perancis, dan kesannya terhadap respons Telegram kepada agensi penguatkuasaan.
“Semasa pertemuan dua hala dengan Duta Perancis, kami membincangkan tindakan yang diambil oleh mahkamah Perancis terhadap pengasas Telegram, Pavel Durov.
“Dia memberitahu, Telegram kini lebih bersedia untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan badan pengawalseliaan,” kata Fahmi dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pos Sedunia 2024, di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan buat masa ini tidak berniat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kakitangan platform media sosial, termasuk Telegram, selagi mereka bekerjasama dalam menangani isu-isu ini.
Fahmi kemudiannya menegaskan, bermula dari 1 Januari 2025, semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan dengan lebih daripada 8 juta pengguna di Malaysia mesti dilesenkan di bawah MCMC mulai 1 Januari 2025.
Sementara itu, dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan berkenaan, Fahmi berkata, Pos Malaysia masih relevan dan memainkan peranan penting ketika negara berada dalam persimpangan antara tradisi dan inovasi.
Beliau kemudiannya turut mengumumkan pelancaran armada Kenderaan Elektrik Pos Malaysia, satu inisatif yang selari dengan matlamat nasional untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan pembangunan lestari.