Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Anak perempuan pegawai PPD hilang ketika keluar buang sampah

KUANTAN – Anak perempuan seorang pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini dilaporkan hilang selepas keluar membuang sampah di hadapan rumahnya di Taman Temerloh Jaya, Temerloh sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, Nurul Aliya Zulkifli, 20, dilaporkan hilang oleh bapanya selepas anaknya itu tidak dapat dikesan selepas keluar membuang sampah kira-kira lima meter dari pagar rumah.

Katanya, laporan mengenai kejadian itu dibuat bapa mangsa pada keesokan harinya dan kes disiasat sebagai orang hilang.

“Ayah mangsa memberitahu anak perempuannya telah keluar untuk membuang sampah yang jaraknya kira-kira lima meter dari rumahnya.

“Pengadu kemudian mendapati anaknya tiada di hadapan rumah dan telah membuat carian di sekitar kawasan tetapi tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, ketika kejadian, mangsa yang berketinggian 160 sentimeter dengan berat 45 kilogram itu memakai blaus berbelang putih biru, berseluar hitam dan bertudung bawal berwarna coklat.

Mazlan berkata, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu terbabit untuk tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di 09- 2716222.

Show More

Related Articles

Back to top button