Berita Semasa

Setahun Gaza dibedil Israel: Malaysia ulangi pendirian terus sokong Palestin

PUTRAJAYA – Kerajaan mengulangi pendirian untuk terus memberi sokongan kepada Palestin bagi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia adalah berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara berkenaan.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Pendirian itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini berhubung genap setahun, sehari kekejaman rejim zionis Israel terhadap Palestin.

Dalam kenyataan itu, Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas, dan mendakwa Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin dengan masa untuk bertindak telah lama tiba.

“Tragedi Oktober lalu, genap setahun, menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.

“Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari, dan mencederakan 274 lagi-kebanyakannya warga emas, wanita, dan kanak-kanak yang tidak bersalah. Komuniti hancur, dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata, dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas.

“Kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel berterusan tanpa tanda berhenti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat.

“Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting, dan kini melanggar kedaulatan Lubnan,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata, di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, kemanusiaan, hak asasi manusia, serta genosid dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

“Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat dan ini tidak boleh diterima. Israel tidak bolen lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button