PM Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean di Laos
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini di Vientiane, Laos.
Kementerian Luar memaklumkan, Perdana Menteri juga akan menghadiri Sidang-sidang Kemuncak antara ASEAN dan tujuh rakan dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Selain itu, Perdana Menteri akan turut menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi-sesi sua muka antara pemimpin-pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil dari Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly – AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council – ABAC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Kementerian Luar, Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan akan memberi peluang bagi Malaysia berkongsi perspektif negara secara aktif dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Katanya, ia termasuk usaha pembangunan komuniti ASEAN dan Visi Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan rantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baru dan baru muncul, peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan proses ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, dan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar.
Sementara itu, Wisma Putra turut memaklumkan Malaysia juga akan menyatakan pendiriannya berkaitan isu Laut China Selatan, dan perkembangan di Myanmar, Palestin dan Timur Tengah.
“Penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap ASEAN serta usahanya meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau, serta mempromosi dan mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di dalam dan luar Asia Tenggara.
Selain itu, Wisma Putra berkata, semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Lao PDR sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, MITI, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Ekonomi, serta Kementerian Belia dan Sukan.
Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Menteri Luar akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ke-58, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-35.