Cuti mingguan Johor ditukar kepada Sabtu, Ahad mulai Januari 2025
JOHOR BAHRU – Mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
Perkara itu dimaklumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Selepas mendapat perkenan dan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa Mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, Tunku Ismail turut menitahkan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
“Saya berharap agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” titah baginda lagi.
Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.