Pesara rugi RM108,000 diperdaya sindiket pelaburan palsu
JASIN – Seorang pesara berusia 73 tahun kerugian RM108,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui media sosial Facebook.
Hasrat untuk mendapatkan keuntungan melalui pembelian saham bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pulangan yang dijanjikan tidak kesampaian.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa tertarik dengan tawaran pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, lalu menekan pautan iklan tersebut untuk berhubung dengan suspek.
“Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan menerangkan mengenai pakej pelaburan yang ditawarkan.
“Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi bernama Ats-Pro, dengan janji bahawa dia akan menerima RM6,000 untuk membeli satu unit saham,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad berkata, mangsa mula terpedaya apabila menerima pulangan pertama sebanyak RM3,000 yang menyebabkan dia yakin dan menambah jumlah pelaburan untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan.
“Siasatan sejak Ogos lalu mendapati, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke empat akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM108,000,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, mangsa pada mulanya melihat keuntungan terkumpul dalam aplikasi Ats-Pro mencecah RM373,287.67 dalam masa dua bulan.
“Namun, dia mula curiga apabila gagal mengeluarkan keuntungan tersebut dan diarahkan oleh suspek untuk membayar tambahan RM60,000 sebagai cukai pengeluaran wang,” tambahnya lagi.
Mangsa akhirnya membuat laporan polis di Balai Polis Jasin setelah menyedari dirinya ditipu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.