Lapan tentera Israel terbunuh dalam pertempuran darat dengan Hezbollah
TEL AVIV – Lapan tentera rejim Zionis diumumkan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan pejuang Hezbollah selepas melakukan serangan darat memasuki Lubnan.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua mereka maut dalam dua pertempuran berasingan di selatan Lubnan.
“Salah satunya ialah serangan hendap berhampiran terowong Hezbollah selepas melancarkan pencerobohan darat terhad di sana minggu ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Antara yang terkorban temasuk komando berusia 22 tahun dalam Unit Komando Egoz Elit, Kapten Eitan Itzhak Oster iaitu kematian rasmi pertama yang dilaporkan sejak pencerobohan bermula.
Selain itu, seorang pegawai dan dua anggota lain dilaporkan maut di tangan pasukan Heszbollah dalam pertempuran yang berasingan.
Terdahulu, media melaporkan, sejumlah tentera Israel terbunuh selepas diserang hendap berhampiran terowong Hezbollah berhampiran perkampungan Odaisseh di selatan Lubnan.
Ketua media Hezbollah, Mohammad Afif berkata, pertempuran itu hanyalah permulaan, selain menyatakan kumpulan pejuang itu mempunyai pejuang, senjata dan peluru yang mencukupi untuk menekan tentera Israel.
Sehari selepas Iran menyerang Israel, IDF mengesahkan ia akan memperhebat serangannya dengan menghantar unit infantri dan perisai biasa untuk menyertai operasi daratnya di Lubnan.