Pasukan MALBATT di Lubnan selamat, tiada kemalangan jiwa
KUALA LUMPUR – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang bertugas di Lubnan kini berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan aset telah berlaku.
Menurut Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, kesemua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.
“Mengambil kira keselamatan petugas, markas UNIFIL telah mengaktifkan
perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sebarang perancangan untuk penarikan balik pegawai dan anggota pasukan MALBATT 850-11 ke Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di dalam kawasan operasi.
Katanya, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan akan mengemaskini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11.
Ketegangan di Asia Barat terus memuncak selepas pembunuhan Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah pada Sabtu lalu di Lubnan oleh Israel.
Rentetan itu Iran telah melancarkan peluru berpandu ke Israel pada awal pagi tadi hingga memusnahkan banyak kawasan strategik.