Sukan

MFL tegas tolak penstriman haram liga Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) menentang sekeras-kerasnya penstriman haram perlawanan Liga Malaysia 2024-2025 demi menjaga privasi perlawanan secara langsung serta hak penyiaran rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi berkata, penonton dilarang menyaksikan perlawanan melalui mana-mana platform media sosial atau laman web tidak rasmi yang melanggar Seksyen 43AA Akta Hak Cipta.

Beliau juga menekankan pentingnya menghormati hak penyiar rasmi, Astro dan rakan penyiar, RTM, yang komited memberikan liputan terbaik untuk peminat bola sepak tempatan.

“Kami di pihak MFL sangat menjaga privasi kandungan Liga Malaysia dan hak penyiaran Astro serta RTM yang menyediakan liputan terbaik.

“Melindungi hak penyiaran ini juga penting untuk mengekalkan sumber pendapatan kelab-kelab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rossi berkata, pihaknya amat kecewa apabila aktiviti penstriman haram masih berlaku dan beliau berharap penyokong akan terus menyokong kelab kegemaran mereka dengan menonton perlawanan melalui saluran rasmi.

Terdahulu, Kelantan Darul Naim FC dikenakan denda RM5,000 dan amaran selepas mempromosikan penstriman langsung di platform tidak rasmi menerusi media sosial kelab pada 27 September 2024, yang jelas melanggar Peraturan Media dalam Manual Liga Malaysia 2024.

Rossi turut memberi amaran bahawa tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana kelab yang melanggar peraturan tersebut pada masa akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button