Malaysia sambut baik pelaburan RM27 bilion Oracle
KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik pengumuman oleh satu lagi syarikat gergasi teknologi dunia Oracle susulan pembukaan pusat awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Ini mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat-syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau.
“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan Madani telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.
“Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Oracle hari ini mengumumkan pihaknya merancang untuk melabur AS$6.5 bilion bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan awannya.
Dalam kenyataan hari ini, Oracle menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).
Tambah Perdana Menteri, adalah
penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini.
“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi Madani akan dapat dicapai, Insya-Allah,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.