Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Lancar perang terhadap Agong: Hukuman mati tujuh warga Filipina ceroboh Lahad Datu kekal

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan yang dikemukakan
tujuh warga Filipina bagi mengenepikan hukuman mati atas kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim bersidang yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Pemohon terdiri daripada Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 60, yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu dan enam individu lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.

Mereka memohon agar hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara susulan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap semua lelaki itu dan dua lagi – Ismail Yasin dan Salib Akhmad Emali selepas didapati bersalah melakukan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan tiada keterangan menunjukkan semua tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Bagaimanapun, pada 8 Jun 2017, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati.

Hukuman mati itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 Jan 2018.

Terdahulu, sebanyak sembilan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Show More

Related Articles

Back to top button