Berita Semasa

TPM Fadillah mahu tatakelola institusi infak berada di tahap cemerlang

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk terus memastikan tatakelola institusi infak berada di tahap yang cemerlang bagi memastikan keberkesanan dan kepercayaan masyarakat terus diperolehi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, penyalahgunaan dana infak boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan penderma, sekali gus boleh mengurangkan sumbangan di masa hadapan.

Tegas Fadillah, masyarakat perlu diyakinkan bahawa sumbangan yang diberikan digunakan dengan cara yang betul dan sesuai.

“Sebagai seorang yang beriman, kita tidak sepatutnya mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada kita kerana kita tahu akan kesalahannya.

“Tanpa laporan kewangan yang jelas dan terperinci, kepercayaan masyarakat terhadap institusi tersebut boleh terjejas, sehingga menyebabkan mereka ragu untuk menyumbang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Forum Serantau Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia yang bertemakan “Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau” di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Forum Serantau Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia bertemakan “Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau”. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, dengan kemajuan teknologi, infak kini boleh dilakukan secara dalam talian,
namun ini juga membawa cabaran seperti penipuan dan ketidakpastian mengenai kesahihan platform yang digunakan untuk menyumbang.

“Justeru, masyarakat perlu diberi panduan tentang cara memilih platform yang sahih dan memastikan bahawa sumbangan mereka sampai kepada penerima yang tepat,” ujarnya.

Fadillah menambah, kerajaan pada bulan September lalu telah setuju dengan cadangan untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208].

Katanya, ia adalah bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan dengan antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.

“Pindaan ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan memperkasa tatakelola, integriti, dan membanteras rasuah khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu membabitkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam.

“Ia juga merangkumi isu rasuah yang membabitkan perolehan kerajaan serta penyalahgunaan dana awam terutama membabitkan entiti yang menerima dana daripada kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berharap agar forum serantau anjuran YAPIEM ini membincangkan cadangan- cadangan penambahbaikan kepada kedua-dua Akta tersebut yang boleh dimajukan kepada kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button