KKM perkenal dua pelan kesihatan warga emas
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus melangkah ke hadapan dengan melancarkan dua pelan tindakan strategik yang menyasarkan penjagaan kesihatan lebih baik untuk warga emas sehingga tahun 2030.
Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas KKM 2023-2030 dan Pelan Tindakan Dementia 2023-2030 itu dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sempena Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat KKM 2024 di Putrajaya, hari ini.
Pelan tersebut bertujuan memperkasa warga emas melalui pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh, mudah diakses dan sesuai dengan keperluan komuniti.
Dzulkefly menekankan bahawa tumpuan utama inisiatif berkenaan adalah untuk mempromosikan penuaan sihat dan penjagaan kendiri (self-care) melalui amalan gaya hidup sihat sejak usia muda.
“Kita mahu memastikan warga emas terus kekal aktif dalam komuniti mereka melalui pencegahan penyakit dan penjagaan diri. Ini penting untuk memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang sihat dan berkualiti, selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS),” katanya di sini hari ini.
KKM turut memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan kepada warga emas melalui klinik desa, yang sudah beroperasi sejak Julai 2019.
Sehingga kini, sebanyak 416 klinik desa telah terlibat, memastikan warga emas mendapat penjagaan kesihatan primer yang lebih dekat dengan rumah mereka.
“Prinsip kami ‘closer to community, closer to home’ (dekat dengan masyarakat, dekat dengan kediaman). Klinik desa ini memastikan warga emas lebih mudah mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan primer.
“Itu bukan sekadar penjagaan tetapi juga memupuk kesaksamaan dalam perkhidmatan kesihatan,” katanya lagi.
Sambutan Hari Warga Emas bertemakan ‘Sihat Madani Di Usia Emas’ dengan penekanan kepada perubahan dalam pendekatan penjagaan kesihatan.
Menurut Dzulkefly, fokus kini tidak lagi hanya kepada rawatan penyakit tetapi kepada pencegahan awal dan kesejahteraan (wellness)
“Kita perlu beralih daripada konsep ‘sick care’ kepada ‘health care’ dan wellness. Itu bermakna kita perlu mengubah tingkah laku, mencegah penyakit sejak awal, dan menggalakkan kesedaran kesihatan,” tegasnya.
Dalam usaha memperkasakan warga emas, KKM juga dalam proses menambah baik Garis Panduan Pelaksanaan Kelab Warga Emas yang dijangka siap pada 2025.
Sebanyak 256 Kelab Warga Emas di seluruh negara kini aktif di bawah KKM membolehkan warga emas mengekalkan keupayaan berfungsi dan melambatkan kemerosotan kesihatan.