Kematian Al Fateh asbab pegawai tentera dapat berpindah ke Melaka
KUALA LUMPUR – Bapa kepada bayi lapan bulan yang maut didera oleh seorang pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska), Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim akhirnya dapat berpindah ke Melaka selepas 14 tahun tinggal berjauhan daripada isterinya.
Menurut Mohd Fikry dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya, pemergian anaknya, Muhammad Al Fateh Amri menjadi asbab untuknya kembali ke Melaka.
“Alhamdulillah syukur selesai serah menyerah tugas. Penantian selama 14 tahun berakhir.
“Setelah sekian lama hidup berjauhan dengan isteri, akhirnya saya dapat hidup sebumbung.
Pemergian Al Fateh menjadi asbab untuk saya kembali ke Melaka. Semoga dipermudahkan urusan saya di tempat baru. Dapat daddy dan mommy melawat kubur Al Fateh hari-hari,” katanya.
Pada 6 September lalu seluruh negara terkejut dengan kematian bayi tersebut selepas penantian selama 13 tahun pegawai tentera itu dan isteri, Sabrina Hakiem Zaini, 39, yang bertugas sebagai guru berakhir dengan tragedi menyayat hati.
Susulan itu, seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka atas dakwaan membunuh.