Luar NegaraSukan

Liverpool mara ke pusingan keempat Piala Liga selepas tewaskan West Ham 5-1

LIVERPOOL – Liverpool melangkah gagah ke pusingan keempat Piala Liga selepas membenam West Ham United 5-1 di Anfield, dengan Diogo Jota dan Cody Gakpo masing-masing menjaringkan dua gol, awal pagi tadi.

Mohamed Salah turut menyumbang satu gol buat pasukan bimbingan Arne Slot itu yang ketinggalan terlebih dahulu namun berjaya bangkit dengan kemenangan penuh bergaya.

Dalam pada itu, Slot menyatakan keyakinannya terhadap persembahan skuadnya.

“Kami menguasai hampir keseluruhan perlawanan, terutama pada babak pertama. Dominasi terhadap kawalan bola sangat jelas,” katanya selepas perlawanan pagi tadi.

West Ham memulakan perlawanan dengan baik apabila mereka mendahului melalui gol sendiri Jarell Quansah selepas situasi kelam-kabut susulan sepakan sudut.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan selama empat minit sebelum Jota menanduk masuk gol penyamaan hasil voli Federico Chiesa.

Liverpool terus menguasai permainan apabila Jota menjaringkan gol kedua menerusi rembatan ke penjuru gawang pada minit ke-49 selepas menerima hantaran Curtis Jones.

Salah kemudiannya menambah derita West Ham pada minit ke-74 dengan gol ketiga Liverpool, sebelum Edson Alvarez dilayangkan kad merah pada minit ke-76 kerana melakukan kekasaran.

Tidak cukup dengan itu, Cody Gakpo meledak dua gol lewat perlawanan, masing-masing pada minit ke-90 dan 93, menjadikan kedudukan 5-1 dengan rembatan cantik dari jarak 20 meter.

Dalam perlawanan lain, Arsenal turut mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas kelab divisyen tiga, Bolton Wanderers. Ethan Nwaneri yang baru berusia 17 tahun membuka akaun jaringannya dengan dua gol manakala Raheem Sterling, Declan Rice dan Kai Havertz turut menyumbang gol buat pasukan Mikel Arteta.

Arteta merombak pasukan dengan menurunkan Nwaneri serta penjaga gol berusia 16 tahun, Jack Porter, dalam senarai kesebelasan utama, selepas pasukannya seri 2-2 dengan Manchester City dalam saingan liga sebelum ini.

Dengan kemenangan ini, kedua-dua Liverpool dan Arsenal mara ke pusingan seterusnya dengan penuh keyakinan, mengintai peluang untuk menambah koleksi trofi musim ini.

Show More

Related Articles

Back to top button