Berita Semasa

Lebih 1,400 mangsa banjir di Kota Setar terima bantuan daripada kumpulan syarikat LTAT

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 1,400 mangsa banjir yang ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Setar, Kedah menerima sumbangan daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama-sama kumpulan syarikatnya Boustead Plantation Berhad (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan Pharmaniaga Berhad.

Menurut LTAT, tindakan kolektif itu merupakan komitmen LTAT dan kumpulan syarikatnya terhadap mereka yang terjejas akibat banjir dengan menyediakan sokongan kritikal pada masa yang amat diperlukan.

“Sebanyak lebih 800 pek keperluan telah diagihkan, termasuk makanan dan keperluan asas kebersihan, yang disesuaikan dengan keperluan segera keluarga yang dipindahkan dengan Boustead Plantation Berhad menyumbang sebanyak 500 pek makanan keperluan dengan dihantar ke enam lokasi PPS.

“Sementara, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd pula menyumbang 180 pek makanan keperluan untuk diagihkan di tiga lokasi PPS manakala Pharmaniaga Berhad menyumbang 165 pek kebersihan asas dihantar ke 3 lokasi PPS,” katanya hari ini.

Katanya, usaha itu merupakan sebahagian daripada misi bantuan yang diselaraskan antara Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan PPS di Kota Setar bagi memastikan bantuan sampai kepada keluarga dengan selamat.

“Semua penerima bantuan kini ditempatkan di PPS yang ditetapkan, dipantau oleh pihak berkuasa tempatan dan profesional bagi memastikan keselamatan, serta kesejahteraan mereka terjaga.

“Pengagihan bantuan ini bukan sahaja memenuhi keperluan segera mangsa banjir, malah memperlihatkan kekuatan kerjasama seluruh kumpulan syarikat LTAT.

“Pergerakan pantas daripada kumpulan syarikat LTAT telah memberi kelegaan yang diperlukan, meringankan beban keluarga yang menunggu air banjir surut dan keadaan kembali pulih seperti sediakala,” ujarnya.

Sementara itu katanya, LTAT kekal komited untuk terus memberi sokongan berterusan dan memainkan peranan akti dalam menyumbang kepada masyarakat, selaras sepenuhnya dengan aspirasi ekonomi di bawah rangka kerja Madani.

Show More

Related Articles

Back to top button